“PENGORBANAN dan usaha saya selama ini untuk membela nasib anak yatim dan miskin mungkin lebur sekelip mata sekiranya kami perlu keluar dari rumah kebajikan ini.”
Itu keluhan Norlela Othman, 57, yang buntu memikirkan nasib 48 anak yatim dan miskin di bawah jagaannya selepas menerima notis mengosongkan rumah perlindungan dari Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Mac lalu kerana dikatakan mengganggu ketenteraman penduduk
Norlela yang juga bekas pesakit kanser payudara dan tulang itu membuka Persatuan Kebajikan Rumah Jalinan Kasih Anak-Anak Yatim Miskin Selangor sejak 10 tahun lalu di Jalan Megah 31 di Cheras, di sini, untuk membantu golongan memerlukan berlindung.
“Saya dan suami selama ini sedaya upaya menyediakan tempat perlindungan untuk kanak-kanak dan remaja yang memerlukan namun tiba-tiba saja terdapat individu yang baru berpindah ke sini tidak menyenangi operasi rumah perlindungan ini.
“Disebabkan aduan daripada seorang jiran, MPKj memberi notis kepada kami supaya mengosongkan rumah ini dalam masa tiga bulan.
“Saya tidak mampu mengeluarkan dana yang besar dengan segera untuk berpindah keluar, apatah lagi untuk mencari rumah yang sesuai pada kadar sewa yang rendah seperti sekarang,” katanya.
Rumah perlindungan yang menempatkan anak-anak dan remaja perempuan itu sekarang disewa pada kadar RM800 sebulan, itu sedikit sebanyak meringankan beban Norlela untuk menampung perbelanjaan penghuni rumah berkenaan yang mencecah RM15,000 setiap bulan.
Sepanjang 10 tahun menguruskan rumah anak-anak yatim, saya pastikan tiada seorang penghuni pun menganggu ketenteraman jiran. Namun, sudah menjadi lumrah kanak-kanak di mana mereka sering bermain dengan suara yang agak kuat sehingga mengganggu jiran sebelah. Kami akhirnya perlu akur dengan bantahan yang dikemukakan jiran bersebelahan apabila MPKj memaklumkan kami perlu berpindah keluar dari rumah perlindungan ini.
Norlela ada mencari rumah sewa baru di kawasan berhampiran namun sewa yang dikenakan melebihi RM2,000 sebulan dan perlu membayar deposit yang tinggi. Kos untuk ubah suai rumah juga sangat besar sehingga mencecah puluhan ribu ringgit. Wang yang ada hanya cukup-cukup makan untuk keperluan harian dan sekolah anak-anak di sini.
Namun, bila masalah ini timbul, saya tiada saluran lain untuk mendapatkan dana yang besar. Anak-anak di sini juga dikenali oleh majoriti penduduk, malah ada penduduk yang sudah menganggap mereka seperti anak sendiri, katanya. Norlela turut keberatan untuk memisahkan anak yang dijaga sekiranya tidak mampu menyediakan rumah yang sesuai untuk dijadikan rumah perlindungan.
Penghuni di sini trauma apabila perlu berpisah dengan keluarga mereka. Jadi, apabila diberitahu mungkin mereka akan diagihkan ke rumah perlindungan lain, semuanya sedih dan tidak mahu berpisah. Kami di sini sudah seperti satu keluarga besar di mana kami menjaga kebajikan masing-masing tanpa meminta untuk dimewahkan.
Pegawai Perancangan di Jabatan Perancangan dan Pembangunan MPKj, Sazzelina Ismail, berkata pengurus Rumah Jalinan Kasih perlu mendapatkan persetujuan dari penduduk yang membantah jika mahu meneruskan operasi rumah berkenaan. “Masalah ini akan selesai sekiranya semua penduduk di depan, belakang dan bersebelahan bersetuju dengan operasi rumah perlindungan di kawasan itu,” katanya kepada Harian Metro di sini.
“Penyelesaian masalah ini akan menjadi mudah jika semua pihak bekerjasama. Hidup berjiran memang perlu bertolak ansur dan tidak boleh hanya mementingkan diri sendiri. “Jika kedua-dua pihak berdamai, saya fikir MPKj juga tiada masalah untuk menarik semula notis dan operasi rumah perlindungan boleh berjalan seperti biasa,” katanya.
