Sempena Program Ukhuwah Fillah Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Rumah Prihatin Grand Seasons menjalinkan kerjasama dengan memberikan keceriaan kepada anak-anak yatim dan asnaf Rumah Jalinan Kasih.
Seramai 57 anak anak dan remaja berumur dari tiga bulan hingga 17 tahun menerima bantuan makanan kering, alatan permainan dan makanan bermasak menerusi tiga inisiatif Rumah Prihatin iaitu Food bank Prihatin, Dapur Prihatin dan Toybank Prihatin. Pemberian sedekah ini selaras dengan objektif Rumah Prihatin bagi meringankan beban golongan sasar yang memerlukan bantuan sama ada dari segi mental mahupun fizikal.
Sumbangan bantuan ini disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Rumah Prihatin, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah kepada Pengasas Rumah Jalinan Kasih, Puan Norlela Othman.
Aktiviti kebajikan yang dianjurkan oleh PERKEP IPD Cheras ini juga turut dihadiri oleh Pengerusi PERKEP IPD Cheras, Puan Nor A’ini Daud, Pegawai Pergigian Daerah Cheras, Datin Dr Zaliza Zain, serta barisan pengurusan Rumah Prihatin.
Sejak penubuhannya pada 15 Julai lalu, Rumah Prihatin telah memanfaatkan lebih 70,000 orang dari kumpulan sasar yang terdiri daripada petugas barisan hadapan, pelajar, golongan asnaf, gelandangan, musafir dan mereka yang memerlukan.
